SYM VF3i 185 | Berkongsi pengalaman 3 tahun menggunakan jentera ini

SYM VF3i 185 V3 LE Pro

Ada orang panggil motor ni VF3i, SYM 185 VF3i. Ada juga yang gelarkan motor ini sebagai Motor Cap Ayam.

Saya tak kisah semua itu. Janji alah membeli, menang memakai.

Saya mula memiliki jentera SYM VF3i 185 v3 dari Taiwan ini bermula bulan Mac tahun 2021.

Sebab utama mencari jentera 2 roda adalah untuk kegunaan ulang alik pergi dan balik kerja dengan tujuan untuk jimat kos bahan api dan juga kos tol.

Cari dan buat sedikit perbandingan serta carian di Google antara model ini dengan model jenama motosikal lain seperti Honda RS150Yamaha Y15Yamaha NVX150 dan Benelli RFS150.

Namun harga SYM VF3i 185 ini adalah antara yang paling termurah dan sangat berbaloi.

Harga SYM 185 pada tahun itu adalah dalam lingkungan RM9,300.00. Namun Harga motor SYM VF3i 185 ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Harga motor SYM 185 ini (SYM VF3i 185 Price in Malaysia) sentiasa berubah mengikut permintaan pasaran. Tidak ramai yang menggunakan model ini dek kerana terlalu banyak pilihan model motosikal jenama lain di pasaran.

Dari pembacaan dan carian saya ini, barulah saya tahu yang motosikal jenama SYM185 VF3i ini adalah berasal dari Taiwan.

Saya tak tahu kenapa model ini mendapat gelaran cap ayam.

Berkemungkinan disebabkan jenama dari Taiwan, China yang mana negara China memang terkenal dengan produk tiruan serta kualiti produk yang tidak berapa bagus.

Alhamdulillah.

Setelah 3 tahun menggunakan jentera SYM VF3i 185 ini, saya nak berkongsi dengan korang pengalaman pahit manis (SYM VF3i 185 review) untuk ulang alik pergi kerja, buat vlog, buat sesi ride dan sebagainya.

Alahhh.

Kiranya acah-acah buat reviewlah (SYM VF3i 185 review Malaysia) dengan tujuan untuk buka minda korang tentang prestasi enjin Made in Taiwan ni.

Spesifikasi motor saya ini (SYM VF3i Spec) yang saya gunakan pada motor VF3i masih lagi standard takde ubahsuai enjin.

Harapnya dengan perkongsian serta pengalaman saya ini dapat membantu kalian membuat pilihan untuk memiliki motosikal yang sesuai dengan citarasa dan penggunaan harian anda.

1. Kapasiti dan prestasi enjin.

Motosikal SYM VF3i 185 Malaysia ini adalah berkapasiti 183cc. Lebih besar berbanding jenama lain yang seangkatan.

Saya takde masalah dengan kapasiti enjin. Apa yang penting, ianya memudahkan untuk pergi dan balik kerja. Dapat buat sesi vlog atas motor dan upload di saluran Youtube saya pun dah cukup syukur.

Motor saya ini dah pernah ride ke Penang pergi balik hari, ride ke Kuala Terengganu bersama kawan-kawan 3 hari 2 malam, solo ride balik kampung orang rumah di Parit Raja. 

Paling terkini aktiviti ride saya adalah sesi solo ride ke Kuala Pilah untuk hadir ke Kejohanan Hoki SBP Zon Negeri Sembilan. Tak pernah ada masalah dengan enjin.

Masih mampu capai 130km/j ke 140km/j atas lebuhraya. Walaupun dalam keadaan bawa laju lebih daripada kadar had laju yang ditetapkan, undang-undang jalan raya masih diutamakan.

2. Tangki minyak besar saiz 7 liter

Ini adalah salah satu punca kenapa saya pilih untuk memiliki model jentera ini. Tangki minyak yang besar berkapasiti 7 liter. Kalau isi minyak RON95, boleh cecah sehingga RM14.00 ke RM16.00 isian penuh.

Sewaktu sesi ride ke Penang pergi dan balik hari bersama kawan satu ofis, Saya isi minyak penuh di Shell Tol Jalan Duta dan buat isian minyak tambahan di RnR Simpang Pulai.

Dari segi penggunaan bahan api, saya tak perlu risau dengan jarak perjalanan semasa berada di atas lebuhraya.

Kalau korang perasan, jarak dari satu stesen pam minyak ke satu stesen pam minyak seterusnya minimum adalah dalam linkungan 50km.

Apabil menunggang motor cap ayam ni, boleh aggar jarak seterusnya untuk topup minyak sedia ada.

Maksimum pernah saya buat untuk ukur kemampuan isian tangki minyak adalah pada kadar jarak 250km tanpa isi minyak baru.

Itupun hati dah mula rasa resah tak senang duduk dah.

Panel meter minyak dah berkelip tunjuk 1 bar. Kalau lajak lagi, kompom kena menolak motor atas highway.

Hahaha.

Saya memang menjaga dan menukar ‘Fuel Filter’ setiap kali odometer mencecah 10,000km perjalanan.

Jika dikira kos minyak untuk perjalanan pergi dan balik untuk sesi ride ke Penang, bajet lebih kurang RM40.00. Ok lah kan?

3. Takde masalah Head Crack

Ini adalah salah satu kekurangan SYM VF3i 185. Pernah menjadi viral dalam group di Facebook. Odometer belum sampai 20,000km, akan ada masalah Head Crack.

Berkenaan isu ‘Head Crack’ ni, saya dah buat awal dah. Seminggu selepas motor ini berada dalam tangan, saya terus hantar ke bengkel di Segambut untuk buat ‘Recenter Engine’.

Recenter engine ini penting agar kedudukan enjin berada di tengah-tengah dan bukan dalam kedudukan ‘stress’. Namun bukan semua keluaran kilang Mforce berlaku keadaan sedemikian. Hanya keluaran tertentu sahaja yang terjadi keadaan begini.

Nasihat saya, apabila kalian memiliki model SYM VF3i ini, perkara pertama yang kalian wajib lakukan adalah, hantar ke bengkel untuk buat Recenter Engine.

Saya cadangkan untuk kalian hantar ke bengkel RZ Bikerz Performance di Segambut. Pemilik bengkel ini adalah bekas pekerja kilang Mforce yang memang berpengalaman dengan ragam model ini.

Namun disebalik kelebihan yang ada pada Super Moped ini, terselit juga beberapa kelemahan dan kekurangan.

Tak semua model jenama motosikal adalah sempurna tanpa ada cacat cela. Pasti ada kekurangan.

SYM VF3i pun sama. Saya kongsikan dengan kalian untuk lebih waspada dengan kelemahan sym 185.

1. Masalah Jerking

Jerking ini terjadi sewaktu motosikal berada dalam gear rendah dan dibawah 7,500 RPM. Ianya akan mengeluarkan bunyi rantai dan keadaan sprocket yang seperti stress untuk meneruskan perjalanan dalam keadaan gear dan RPM rendah.

Apa yang saya lakukan sendiri. Saya tukar getah Clutch damper yang original kepada getah clutch damper baru yang saya beli di Shopee. Clutch damper di Shopee ini lebih kedap dan dapat memegang rumah clutch tanpa ada ruang kosong antara getah tersebut.

Alhamdulillah, isu jerking pada motor saya hilang.

2. Handle goyang

Apabila motor saya ini keluar dari kedai, ianya siap bersekali dengan Box belakang jenama Givi. Sebab dapat rebate pembelian RM1,000. Jadi saya pilih untuk pasang box untuk memudahkan saya menyimpan barang seperti helmet dan baju hujan.

Timbul isu lain yang mana handle goyang adalah berpunca dari pemasangan besi carrier box belakang. Isu ini masing kekal sampai sekarang. Tetap goyang apabila lepas handle.

Jadi rumusan pada topik ini adalah:

Sebelum nak memiliki sebuah motosikal kategori moped, pastikan selidik secara mendalam tentang motosikal tersebut untuk membuat pilihan menjadi pemilik jentera tersebut.

Ambillah masa lama sikit untuk buat kajian.

Tidaklah nanti rasa menyesal kemudian.

Jujur saya katakan. Saya tidak menyesal beralih angin dari menggunakan motor jenama Demak ke SYM super moped VF3i 185 Malaysia.

Moga perkongsian saya pada kali ini dapat memberi sedikit input berguna serta sedikit pedoman buat kalian untuk memiliki motosikal idaman. 

Saya kerap kongsikan pengalaman saya serta aktiviti saya bermotosikal di saluran Youtube saya sendiri.

Saya jemput kalian untuk SUBSCRIBE channel Youtube saya.


Berjumpa lagi di posting yang akan datang.

Ariyos.

Catat Ulasan

Terima kasih di atas komen anda. Mohon komen secara berhemah yer.

Terbaru Lebih lama

REAL Me

realme [CPS] IN

Bisnes Fotografi

Borang Maklumat Hubungan